"Bagus anak muda seperti kamu yang duduk di surau awal pagi macam ni. Sejuk mata memandangnya..." ucap lelaki itu. Dari raut wajahnya, Ziyad agak usianya mungkin dalam lingkungan penghujung 20an.
"Er...Alhamdulillah dengan kawan serumah tadi..." balas Ziyad perlahan. Padahal rasanya inilah pertama kali dia tidak terus balik selepas selesai solat subuh di surau atau masjid. Berjemaah subuh pun jarang sekali.
"Abang memang selalu tidak terus balik lepas subuh di sini?" soal Ziyad. Dia yakin dengan kata hatinya yang lelaki itu selalu berjemaah di situ.
"Alhamdulillah...Abang buka gerai di seberang jalan depan surau ni. Jadi lepas dari sini memang tak balik rumah semula. Terus buka gerai. Abang risau sangat tak cukup bekalan untuk kehidupan akhirat nanti lagi-lagi bila memikirkan dosa-dosa silam...Adik ni untung sebab Allah bagi hidayah menjaga solat sejak muda" ulas lelaki itu sambil menoleh memandang Ziyad. Senyuman yang diukirnya nampak tawar tidak berperisa.
Ziyad menelan liur yang terasa kesat untuk ditelan. Rasa terpukul dengan pujian itu. Menjaga solatkah dia? Memang dia selalu solat tapi berkualitikah solat-solatnya dengan khusyuk?
"It's not how we start but what matter most is the ending of it...Yang paling penting pengakhiran hidup kita nanti. Macam Sayyidina Umar biarpun sebelum islam dia keras dan menentang islam tapi setelah dia masuk islam, masyaAllah dia betul-betul menghidupkan ajaran islam sebaris dengan para sahabat yang lebih dulu memeluk islam."
"Jangan patah semangat bang. Allah tu Maha Mendengar dan menerima taubat hambaNya" ucap Ziyad sambil menepuk bahu kiri lelaki di sebelahnya yang tunduk memandang lantai surau. Wajah lelaki itu jelas muram dan seakan tergambar ada riak penyesalan.
"Abang jual apa kat gerai depan tu? Saya jarang singgah situ" tanya Ziyad dengan suara berminat. Cuba untuk menaikkan semangat teman bicaranya.
"Jual burger...Ada burger daging, ayam, kambing dengan cheese dan telur. Menu lain pun ada. Jemput singgah bila lapang..." ajakannya membuatkan Ziyad mengangguk.
"InsyaAllah..."
Sempat mereka berkenalan nama saat bersalaman sebelum Ziyad meminta diri untuk pulang. Abang Munif namanya.
*******
"Aku lupa kita berpuasa hari ni. Masuk tadi aku terus tuang dan minum air oren...Allahu Akbar. Astaghfirullah hal 'adzhim..." umum Haris saat dia kembali semula ke ruang tamu. Dia merebahkan badan duduk ke sofa.
Memang kebiasaan Haris begitu sebaik pulang ke rumah. Terus buka peti sejuk dan minum. Mereka pun tidak teringat untuk mengingatkan sewaktu sampai rumah tadi. Tak terfikir pasal itu lagi-lagi bila tengah cuaca terik panas sebegini pastilah fikiran lebih tertumpu hendak cepat-cepat sampai rumah.
"Takpe...Tak sengaja"
~bersambung~
0 comments:
Post a Comment