Jom kita sama-sama cuba mengenali satu-persatu kisah sahabat rasulullah melalui sirah. Secara tidak langsung in syaa allah agar kita dapat mencontohi semangat-semangat mereka menegakkan Islam& syiar Allah.
Untuk kali pertama ini, ana nak berkongsi kisah Mus'ab bin Umair radiallahu anhu. Siapa kah beliau?
Dikisahkan bawa Mus'ab adalah seorang lelaki yang mempunyai wajah yang sangat hensem dan menjadi rebutan para perempuan di kota Makkah. Beliau dilahirkan dalam keluarga bangsawan. (Ada juga yang menceritakan Mus'ab memiliki sepasang anak mata biru.wallahu 'alam tak tahu sejauh mana kebenarannya). Ramai para gadis berangan-angan untuk menjadi pasangan Mus'ab si hensem rupawan.
Di dalam keluarga, orang tuanya sangat memanjakan Mus'ab. Segala kemahuannya pasti akan ditunaikan. Mus'ab terkenal selalu memakai pakaian yang indah-indah, cantik-cantik. Selain itu juga, Mus'ab selalu memakai haruman yang mahal. Dikatakan dari kejauhan orang ramai sudah dapat tahu kehadirannya sebab harum pewanginya boleh dihidu dari jauh. Ada juga diceritakan, seandainya pakaian Mus'ab diperah, pasti pewangi yang digunakannya dapat diperah. Subhanallah~~ Ibunya sangat menyayangi Mus'ab.
Sewaktu keluarganya mengetahui tentang keislamannya, keluarga Mus'ab sangat marah kerana beliau telah meninggalkan agama mereka yang diwarisi dari nenek moyang. Mus'ab di kurung tetapi akhirnya keluarganya membebaskan kerana mereka gagal menukar prinsip Mus'ab yang masih berpegang teguh dengan islam. Hingga pada suatu hari, Mus'ab melihat ibu kesayangannya berwajah pucat lesi jadi Mus'ab bertanya sebabnya. Ibunya menjawap:
".....Dia telah berniat di hadapan berhala bahawa dia tidak akan makan dan minum sehingga Mus’ab meninggalkan Islamnya"Bayangkanlah....Sewaktu Mus'ab harus membuat pilihan: di antara nyawa dan sayang pada ibu yang telah melahirkan, membesarkan & menyayanginya ataupun Islam satu pegangan yang baru dianuti? Betapa satu keputusan sulit harus di buat. Mus'ab membalas:
"Seandainya Ibu mempunyai seratus nyawa sekalipun, dan nyawa ibu keluar satu persatu, saya tidak akan meninggalkan islam"Sebaik ibunya mendengar jawapan Mus'ab, sahabat inipun diusir dari rumah keluarganya. Mus'ab menerima tanpa mengeluh. Beliau lalu tinggal bersama saudara seislam menyambung perjuangan bersama Rasulullah dan sahabat yang lain.Hidupnya yang dahulu dilimpahi kemewahan kini serba kekurangan. Tanpa harta, pakaian yang cantik-cantik, makanan yang enak-enak dan apalagi pewangi langsung tidak ada.
Pada suatu ketika sewaktu ancaman dan siksaan yang dibuat oleh kaum Quraisy makin menjadi-jadi, Rasulullah memerintahkan sebahagian kaum muslimin untuk berhijrah ke Habsyah termasuk Mus'ab. Sekembalinya dari Habsyah, diri Mus'ab sangat-sangat berubah dari dulu sehingga Rasulullah mengucapkan:
“Segala puji bagi bagi Allah yang telah menukar dunia dengan penduduknya. Sesungguhnya dahulu saya melihat Mus’ab seorang pemuda yang hidup mewah di tengah-tengah ayah bondanya yang kaya raya. Kemudian dia meninggalkan itu semua kerana cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.”Kerana cintanya pada Islam, agama yang haq Mus'ab sanggup melalui kehidupan berliku. Meninggalkan kehidupan penuh kemewahan yang diberi daripada orang tuanya. Subhanallah....betapa hebat sahabat rasulullah ini....
Mus'ab bin Umair terkorban syahid sewaktu dalam perang Uhud. Sewaktu beliau ditugaskan memegang bendera kaum muslimin, tanpa takut Mus'ab menjalankan tanggungjawapnya. Bila tangan kanannya terputus dek serangan pihak musuh islam, Mus'ab masih gagah meneruskan perjuangan dalam perang dengan memegang bendera di sebelah kiri. Bila tangan kirinya terpotong, Mus'ab tetap memegang bendera tentera islam dengan kedua lengan yang masih ada sebelum akhirnya jatuh gugur syahid di jalan Allah. Memandangkan sewaktu ketika itu tentera islam serba kekurangan, jasad Mus'ab tidak dapat ditutup dengan lengkap. Bilamana kain yang menutupinya ditarik ke bawah, maka akan nampak terbuka bahagian kepalanya. Bila ditarik ke atas pula akan nampak kakinya. Maka dengan sedih Rasulullah menyuruh sahabat untuk menjadikan kain itu menutupi kepala manakala kakinya pula ditutupi dengan daun-daun untuk dikebumikan. Subhanallah walhamdulillah wala ilaha illallah wallahu akbar......
Ibrah(pengajaran) yang dapat kita ambil dari kisah sahabat ini [dari pendapat saya]:
1) Mari kita cuba untuk contohi semangat Mus'ab bin Umair radiallahu anhu yang tetap istiqomah berpegang teguh dengan islam walaupun hebat ujian yang perlu dilalui.
2) Cuba untuk menerima dengan redha berlapang dada dan tidak bersungut ketika menghadapi musibah.
3) Tidak mudah berputus asa. Hidup harus diteruskan selagi nyawa, ruh masih ada dalam jasad.
4) Harta, pakaian yang cantik-cantik, kemewahan bukan segala-galanya.