Bismillah....Assalamu'alaikum warahmatullah wbt...
Berikut adalah artikel yang ana copy paste dari
web iluvislam
Riak muka melambangkan reaksinya. Serba tidak kena. Seperti banyak yang ingin diluahkan.
"Kadang-kadang aku peliklah". Katanya, ringkas.
"Kenapa?"
"Orang kita ni, senang betul nak berjaga malam. Tapi bukan untuk buat qiamullail, tapi berjaga malam untuk tengok bola."
Aku tersentap. Tak sangka juga dia berkeinginan untuk memperkatakan
sedemikian, kerana dia juga antara peminat fanatik bola sepak. Aku
meneguk semula air teh ais yang dibeli.
"Hmm, betul juga cakap kau, masyarakat sekarang ni kurang kesedaran
untuk buat qiamullail. Ramai yang memilih dunia, berbanding akhirat.
Padahal qiamullail hanya mengambil masa dalam 20-30 minit sahaja, itupun
sekiranya melakukan banyak solat sunat. Kalau buat tahajud sahaja,
dalam 5 minit dah habis. Tapi, ramai yang memilih untuk berjaga, dan
memperhambakan diri di hadapan televisyen, selama 90 minit."
Bukan bermaksud menghalang, tetapi
rebutlah ganjaran pahala.
"Dan
bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang
tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu
membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji"
(Surah al-Israa' ayat 79)
Di Mana Datangnya Keikhlasan?
Suasana sepi. Seperti biasa.
"Mana jemaah kat surau ni? Subuh bukan masuk awal ke, takkan jam aku rosak lagi."
Azan dikumandangkan. Setelah 20 minit menunggu, hadir juga
hamba-hamba Allah yang terpilih, dan dibukakan hati untuk datang
berjemaah di surau. 3 orang semuanya.
Keesokan hari, berbeza daripada sebelumnya. Terdapat penceramah yang
hadir untuk memberi kuliah subuh, yang bertajuk 'Cinta'. Jemaah yang
hadir ke surau, lebih kurang 30 orang.
"Eh, jom pergi subuh, hari ni ada kuliah subuh, aku dengar ustaz ni
hensem, berkerjaya lagi. Dia ni hebat dalam berhujah, tak rugi rasanya
kita pergi subuh hari ni," kata salah seorang sahabat.
"Laa, semalam masa tak ada ceramah, tak nak pula kau pergi subuh."
"Hmm, semalam aku ngantuk la, hehe". Katanya sambil memberikan senyuman sinis.
Tidak salah untuk kita hadir dalam kuliah subuh, maghrib dan
sebagainya. Malah, ianya dituntut dalam Islam, apabila kita menghadiri
majlis ilmu.
Dalam kitab Tanbihul Ghafilin, iaitu kitab peringatan orang-orang
yang lalai, oleh Al Fakih Abu Laits As-Samarqandi iaitu seorang ulama'
salaf, diterangkan mengenai 7 kelebihan orang yang menghadiri majlis
ilmu, sekiranya tidak mampu untuk mengingati atau menghafal pelajaran
tersebut. Antaranya diampunkan dosa-dosa dan malaikat menaungi penuntut
ilmu dengan melebarkan sayap mereka.
Tetapi, sekiranya kita mampu untuk menghadiri majlis ilmu yang
dianjurkan oleh hamba Allah sendiri, pada waktu subuh terutamanya, maka,
mengapa begitu berat untuk kita menghadiri jemaah Subuh di surau
tiap-tiap hari, untuk mengadap Allah? Adakah kita hanya perlu hadir ke
surau sekiranya terdapat majlis-majlis ilmu?
Bukan bermaksud menghalang, tetapi
ikhlaskanlah amalan ibadah.
"Hanyasanya
yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah
orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan
sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah,
(dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka
menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk"
(Surah at-Taubah' ayat 18)
Alah Bisa Tegal Biasa
Jam menunjukkan pukul 10.20 pagi. Ramai yang berpusu-pusu keluar dari kelas, untuk ke kantin.
"Eh, aku nak pergi surau kejap, nak buat solat dhuha, kau nak ikut?"
"Hmm, aku takutlah, nanti kalau lambat nak pergi kantin, habis pula kuih kesukaan aku tu."
"Laa, tak sampai 5 minit pun, banyak lagi kuih tu, kalau dah ditentukan Allah yang tu rezeki kau, mesti ada punya."
"Hehe, tak pe la kot, gerak dulu." Katanya sambil berjalan menuju ke kantin.
Perkara sunat ini begitu dipandang enteng dalam kalangan masyarakat
kita saban hari. Sungguhpun ia hanya solat sunat, ia sangat dituntut
dalam Islam untuk melakukannya.
Sekiranya kita mampu untuk menghabiskan masa selama hampir 20 minit,
untuk santapan fizikal, mengapa begitu payah untuk kita menghabiskan
masa hanya 5 minit sahaja, untuk santapan rohani?
Bukan bermaksud menghalang, tetapi
perbanyakkanlah yang sunat.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
"Abu
Hurairah berkata; Kekasihku Rasulullah SAW berwasiat kepadaku dengan
puasa tiga hari setiap bulan, mengerjakan solat Duha dua rakaat dan
melakukan witir sebelum tidur."
(Hadis Muttafaq 'Alaih)
Mana Satu Menjadi Keutamaan?
Cuti sekolah sememangnya amat diminati, samada pelajar mahupun guru. Masa yang begitu lapang digunakan sebaik-baiknya.
Sebuah 'status' di Facebook ditulis oleh seorang sahabat.
"Saya baru beli novel ni tiga hari lepas, dalam 604 muka surat.
Seronok sangat novel ni, pasal perjuangan seorang lelaki untuk
menegakkan cintanya terhadap seorang wanita. Dah habis baca, saya ingat
nak bagi awak pinjam, tak rugi kalau baca."
Terbitnya bibit-bibit keinsafan, setelah membaca status itu. "Hmm,
kalau novel setebal 604 muka surat mampu dibaca dalam masa tiga hari
sahaja, mesti Al-Quran yang setebal 604 muka surat juga, mampu
dihabiskan dalam masa tiga hari juga, kan?"
Kurangnya kesedaran dalam kalangan kita. Mudah sahaja kita
menghabiskan novel atau majalah dalam masa yang singkat, tetapi begitu
sukar untuk kita menghabiskan masa untuk membaca
Al-Quran, sungguhpun
satu muka surat.
Tiada salahnya untuk membaca novel, tetapi janganlah sehingga terlalu
alpa, sehingga kita lupa membaca sebuah lagi novel yang agung, iaitu
Al-Quran.
Bukan bermaksud menghalang, tetapi
seimbangkanlah dunia dan akhirat.
Masih Belum Terlambat
Tidak ada istilah 'aku sudah terlambat' di dalam Islam, melainkan
setelah kita mati. Pada ketika itu, tiada gunanya kita merayu kepada
Allah, untuk diminta kembali semula ke dunia. Kini kita berada di alam
dunia, alam yang ketiga selepas kita berada di alam janin dan alam roh.
Barulah diikuti dengan alam kubur dan alam akhirat. Antara dunia dan
akhirat, kita bertemu alam dunia dahulu (pertama) namun, walau pun kita
bertemu dengan dunia dahulu (pertama) jadikanlah akhirat itu utama.
Kita masih mampu mengubah diri kita untuk menjadi lebih baik. Jadilah
hamba Allah yang bersyukur. Janganlah sampai kita tidak lagi diberi
hidayah oleh Allah, sehingga kita dibiarkan sahaja hanyut dengan nikmat
dunia. Maka pada ketika itu, kitalah hambaNya yang paling rugi.